...

Mengembaralah & kamu akan menemui sesuatu yang indah buatmu...

Khamis, 13 Oktober 2011

Sering berdamping dengan orang yang positif.


Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.
Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?
Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.
-dipetik:pahrol mohd. juoi(bersangka baik demi cinta)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan